513

Tentang tragedi Mei 13

Ketika tragedi berdarah Mei 13 saya berada di Kuala Lumpur dan ikut terjun dalam kancah persengketaan antara kaum terbesar pernah melanda Malaysia sebagai pengawal keamanan. Saat itu masih bersekolah di pinggir kota, seminggu selepas tragedi , Kuala Lumpur masih belum aman, situasi dan kondisi berterusan panas bahkan bertambah celaru, warga kota hidup dalam ketakutan, pelarian makin ramai memenuhi Stadium Merdeka, Stadium Chin Woo, Sekolah Victoria Institution (VI) dan lain-lain. Rumah kediaman mereka hangus dibakar, terpaksa melarikan diri kerana takut.

Saya mendaftar sebagai polis sukarela dengan diberikan kad pengenalan polis berwarna kuning dan senapang patah dengan enam butir peluru penabur. Tidak ada latihan khusus tentang pengunaan senapang, tapi yakin diri, senapang patah, senjata yang paling mudah dikendalikan. Saya ditugaskan mengawal Stadium Merdeka dan Victoria Institution, di bawah arahan Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur. Ada ribuan pelarian Cina terdiri orang tua, wanita dan kanak-kanak ditempatkan di situ. Dewan sekolah VI menjadi tempat tidur berminggu-minggu lamanya. Lantai simen yang sejuk pada malam hari membuat seluruh badan sakit-sakit walaupun ketika itu usia baru awal duapuluhan.

Sesekali dibawa pasukan polis meronda bersama mereka seputar Kuala Lumpur dengan manaiki terak polis. Kesan rumah kediaman dan bangunan terbakar tampak jelas, sebahagiannya masih mengeluarkan asap. Di jalanan hanya lori-lori polis, tentera dan ambulan tampak mundar mandir. Kenderaan awam bahkan pejalan kaki tidak ada kerana perintah berkurung. Bayangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan makanan asas seperti beras, lauk, garam, gula ketika itu. Mereka yang tak pernah merasai hidup dalam situwasi perintah berkurang pasti tak dapat bayangkan. Pintu dan tingkap rumah ditutup rapat, tak berani buka. Untuk menjengok ke luar jendela dikhuatiri peluru singgah di kepala.

Sebelum meletus tragedi Mei 13 yang sadis, suhu politik Malaysia khususnya di Kuala Lumpur sangat panas. Pencapaian Barisan Nasional (Perikatan) pada Pilihan Raya Umum 1969 merosok teruk, sehingga sukar membentuk kerajaan. Di Jalan Tunku Abdul Rahman, perarakan parti-parti yang menang PRU berlangsung dengan penuh keegoan, sambil membawa penyapu besar! Api kemarahan antara kaum pun tak dapat dielakkan. Bensin dicurahkan, rumah, bangunan lalu terbakar. Parang , pedang berterbangan mencari mangsa.

Kenapa saya menulis sejarah lapok ini. Apa relevannya dengan masakini. Generasi yang lahir pasca 13 Mei 1969 tentu tak berminat dengan cerita ini. Malah pengetahuan mereka seputar tragedi hitam ini pun barangkali basah basi. Generasi sekarang lebih mengetahui tentang serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang berlaku 1950an berbading Mei 13, kerana Bukit Kepong dibuat filem, ditonton sepanjang masa lewat televisyen. Sedang Tragedi Mei13 tak ada dibikin filem khusus, kerana dikhuatiri menyentuh sensitiviti perkauman di Malaysia. Melukakan hati dan perasaan banyak pihak.

Ketika tragedi Mei13 (1969), sejarah mencatatkan, di Kelantan tiada berlaku pertumpahan darah seperti terjadi di Kuala Lumpur. Ketika itu Kelantan diperintah oleh PAS. Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Almarhum) sebagai Menteri Besar ketika itu mengeluarkan arahan langsung kepada penghulu-penghulu seluruh negeri. Kata-kata beliau yang masyhur “ Kami (Menteri Besar) tak mahu melihat walau setitik darah orang Cina tumpah, sehelai bulu roma orang Cina tertanggal dari badannya disebabkan tangan-tangan orang Malayu Kelantan”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s