G3

Perutusan Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor

Tajuk : Kenapa saya tentang DAP habis-habisan?

Saya merasa terpanggil, berbesar hati lagi teruja untuk menerima lantikan
dalam Gagasan Ketiga (G3) sebagai timbalan pengerusi di atas beberapa
faktor, yang utama ialah penyatuan Melayu dalam menentang DAP.

Masakan tidak teruja, NGO yang diterajui saya, Consent Malaysia akan
berganding bahu dengan ratusan NGO lain untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu menumbangkan DAP demi agama, bangsa dan negara.

Juga, tumbangkan DAP untuk memelihara kesucian agama Islam, memupuk penyatuan Melayu, memperkasakan keunggulan Institusi Raja-Raja dan menjaga kebajikan ummah.

Namun, ada yang masih bertanya : Mengapa Melayu perlu tentang DAP?
Jawapannya sudah terang lagikan bersuluh, jelas – DAP hari ini memerintah Malaysia menerusi ‘gandingan’ bersama AMANAH yang membolehkan mereka menguasai 53 kerusi Parlimen.

Dengan DAP mempunyai 42 kerusi Parlimen bergandingan dengan AMANAH yang memiliki 11 kerusi, ‘gandingan’ ini mempunyai kerusi lebih besar berbanding PKR yang memiliki 49 kerusi dan PPBM yang hanya memiliki 13 kerusi.

Justeru, saya menyimpulkan bahawa dengan ada 53 kerusi Parlimen dalam tangan mereka, DAP yang kita semua tahu kecenderungannya hanya untuk
satu kaum sahaja kini memerintah Malaysia dan ini pastinya bukan sesuatu yang baik untuk negara.

Sebab itu, walaupun perdana menteri kita masih lagi seorang Melayu, namun saban hari kita dapat menyaksikan pelbagai ‘perjuangan’ yang mengguris hati orang Melayu di Malaysia, dari isu UEC, SJKC sampailah ke ICERD, baru-baru ini.

Tatkala rakyat masih mengharapkan janji-janji manifesto Pakatan Harapan
ditunaikan – tol tidak dihapuskan, harga barang makin naik, peminjam PTPTN masih perlu membayar hutang dan sebagainya, kita ‘disedarkan’ dengan gaji pemimpin DAP yang paling tinggi.

Belum termasuk aset lagi, gaji bulanan Nga Kor Ming dan isterinya adalah RM101,160 sebulan atau purata lebih RM3,300 sehari manakala Lim Guan Eng dan isteri pula RM86,464.92 sebulan atau RM2,882 sehari.

Mampukah mereka untuk menjana pendapatan sebanyak itu jika DAP tidak menguasai Malaysia? Tidak majukah Malaysia sebelum ini ketika DAP duduk di kerusi pembangkang dalam Dewan Rakyat?

Jika ini terus berlaku, saya bimbang, saya khuatir kebangkitan orang Melayu akan meledak akhirnya kerana saya tahu ramai ahli DAP, PKR dan PPBM yang berbangsa Melayu juga tidak mengharapkan semua ini tatkala mereka menyokong Pakatan Harapan.

Saya bimbang, jika banyak perkara boleh berulang semula seperti Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM buat kali kedua dan Datuk Seri Anwar mungkin sekali lagi dilantik menjadi timbalan Mahathir, peristiwa berdarah antara kaum mungkin berlaku lagi.

Saya cukup pasti, tiada sesiapa mahukan peristiwa berdarah terutama sekali masyarakat Cina yang memiliki banyak kepentingan perniagaan di negara ini dan Melayu, India juga mahu hidup aman damai.

Tetapi, masakan kita mampu hidup aman damai apabila saban hari kita disajikan dengan berita-berita kesucian agama Islam kian tercalar, usaha memperlekeh keunggulan Institusi Raja-Raja dan tiada usaha untuk menjaga kebajikan ummah.

Renungkan, fikirkan dan bangkitlah bersama G3…

513

Tentang tragedi Mei 13

Ketika tragedi berdarah Mei 13 saya berada di Kuala Lumpur dan ikut terjun dalam kancah persengketaan antara kaum terbesar pernah melanda Malaysia sebagai pengawal keamanan. Saat itu masih bersekolah di pinggir kota, seminggu selepas tragedi , Kuala Lumpur masih belum aman, situasi dan kondisi berterusan panas bahkan bertambah celaru, warga kota hidup dalam ketakutan, pelarian makin ramai memenuhi Stadium Merdeka, Stadium Chin Woo, Sekolah Victoria Institution (VI) dan lain-lain. Rumah kediaman mereka hangus dibakar, terpaksa melarikan diri kerana takut.

Saya mendaftar sebagai polis sukarela dengan diberikan kad pengenalan polis berwarna kuning dan senapang patah dengan enam butir peluru penabur. Tidak ada latihan khusus tentang pengunaan senapang, tapi yakin diri, senapang patah, senjata yang paling mudah dikendalikan. Saya ditugaskan mengawal Stadium Merdeka dan Victoria Institution, di bawah arahan Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur. Ada ribuan pelarian Cina terdiri orang tua, wanita dan kanak-kanak ditempatkan di situ. Dewan sekolah VI menjadi tempat tidur berminggu-minggu lamanya. Lantai simen yang sejuk pada malam hari membuat seluruh badan sakit-sakit walaupun ketika itu usia baru awal duapuluhan.

Sesekali dibawa pasukan polis meronda bersama mereka seputar Kuala Lumpur dengan manaiki terak polis. Kesan rumah kediaman dan bangunan terbakar tampak jelas, sebahagiannya masih mengeluarkan asap. Di jalanan hanya lori-lori polis, tentera dan ambulan tampak mundar mandir. Kenderaan awam bahkan pejalan kaki tidak ada kerana perintah berkurung. Bayangkan betapa sukarnya untuk mendapatkan makanan asas seperti beras, lauk, garam, gula ketika itu. Mereka yang tak pernah merasai hidup dalam situwasi perintah berkurang pasti tak dapat bayangkan. Pintu dan tingkap rumah ditutup rapat, tak berani buka. Untuk menjengok ke luar jendela dikhuatiri peluru singgah di kepala.

Sebelum meletus tragedi Mei 13 yang sadis, suhu politik Malaysia khususnya di Kuala Lumpur sangat panas. Pencapaian Barisan Nasional (Perikatan) pada Pilihan Raya Umum 1969 merosok teruk, sehingga sukar membentuk kerajaan. Di Jalan Tunku Abdul Rahman, perarakan parti-parti yang menang PRU berlangsung dengan penuh keegoan, sambil membawa penyapu besar! Api kemarahan antara kaum pun tak dapat dielakkan. Bensin dicurahkan, rumah, bangunan lalu terbakar. Parang , pedang berterbangan mencari mangsa.

Kenapa saya menulis sejarah lapok ini. Apa relevannya dengan masakini. Generasi yang lahir pasca 13 Mei 1969 tentu tak berminat dengan cerita ini. Malah pengetahuan mereka seputar tragedi hitam ini pun barangkali basah basi. Generasi sekarang lebih mengetahui tentang serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang berlaku 1950an berbading Mei 13, kerana Bukit Kepong dibuat filem, ditonton sepanjang masa lewat televisyen. Sedang Tragedi Mei13 tak ada dibikin filem khusus, kerana dikhuatiri menyentuh sensitiviti perkauman di Malaysia. Melukakan hati dan perasaan banyak pihak.

Ketika tragedi Mei13 (1969), sejarah mencatatkan, di Kelantan tiada berlaku pertumpahan darah seperti terjadi di Kuala Lumpur. Ketika itu Kelantan diperintah oleh PAS. Datuk Haji Mohd Asri Haji Muda (Almarhum) sebagai Menteri Besar ketika itu mengeluarkan arahan langsung kepada penghulu-penghulu seluruh negeri. Kata-kata beliau yang masyhur “ Kami (Menteri Besar) tak mahu melihat walau setitik darah orang Cina tumpah, sehelai bulu roma orang Cina tertanggal dari badannya disebabkan tangan-tangan orang Malayu Kelantan”.